Gara-gara kes kertas resit hina Islam, lapan individu diambil keterangan
Seramai lapan individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penghinaan terhadap Islam oleh seorang pelanggan restoran makanan segera di Kenari Avenue, di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Dua daripada lapan individu itu adalah pekerja rangkaian piza berkenaan, kata Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Setakat ini tiada tangkapan dibuat.
Terdahulu, tular di media sosial gambar resit tempahan secara dalam talian yang tertera kenyataan menghina Islam.
Penyebaran resit dengan ruangan ‘remark’ yang disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab itu mulanya menimbulkan salah faham apabila ia dianggap ditulis pekerja restoran berkenaan.
BACA JUGA Pemimpin cerdik tak tergamak tunggang isu sawah padi ‘ugut’ kerajaan Pusat