Apa dibincangkan PM Anwar dengan Presiden Kazakhstan?

Selepas hubungan kedua-dua negara yang menjangkau lebih tiga dekad, Malaysia dan Kazakhstan sepakat untuk meneroka peluang kerjasama baharu.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden (Akorda) sempena lawatan rasmi dua hari ke negara Asia Tengah terbesar itu.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka juga membincangkan perkara penting terkait hubungan Malaysia dan Kazakhstan serta turut menyentuh isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

“Saya dan delegasi Malaysia menghadiri majlis sambutan rasmi oleh Presiden Tokayev di Istana Presiden (Akorda).

“Saya dan Presiden Tokayev mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan perkara penting terkait hubungan Malaysia dan Kazakhstan serta turut menyentuh isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

“Kami berdua kemudiannya mengetuai delegasi negara masing-masing dalam mesyuarat dua hala bagi membincangkan dengan lebih meluas kerjasama kedua-dua negara yang merangkumi pelbagai sektor seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan, dan industri halal.

“Kedua-dua negara juga sepakat untuk terus memperkukuh hubungan yang terjalin sejak 16 Mac 1992 serta meneroka peluang kerjasama baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Anwar dan delegasi Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Nursultan Nazarbayev Kazakhstan untuk lawatan rasmi sulungnya ke Kazakhstan selama dua hari.

Turut sama ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, serta pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi.

Lawatan terakhir Perdana Menteri Malaysia ke Kazakhstan dengan populasi kira-kira 70 peratus penduduknya beragama Islam itu adalah pada 2014.

BACA JUGA Selepas tular doktor kerja sampai naik pengsan, ini arahan Menteri Kesihatan