Ini identiti dua anggota polis yang terkorban

Dua anggota polis berpangkat konstabel terkorban dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi.

Kedua-duanya yang maut ketika bertugas adalah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang bertugas di pejabat pertanyaan Balai Polis Ulu Tiram.

Seorang lagi Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang bertugas di sebagai anggota prowler di balai sama.

Ahmad Azza ditetak di bahagian belakang leher dan kepala manakala Syafiq ditembak di bahagian perut dan lengan.

Mereka berdua yang masih bujang masing-masing mula bertugas pada 2021 dan 2022.

Dalam serangan sama yang berlaku antara jam 2.30 hingga 2.54 pagi tadi, Koperal Mohd. Hasif Roslan mengalami cedera parah selepas terkena tembakan di bahu kiri dan pinggul.

Anggota Rondaan Cegah Jenayah Balai Polis Ulu Tiram berkenaan pada masa ini disahkan stabil dan dirawat di Zon Merah Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Suspek yang dipercayai berusia 21 tahun dan anggota kumpulan Jamaah Islamiyah (JI) itu ditembak mati di lokasi kejadian.

Ketika kejadian suspek bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang.

Ekoran itu, polis menahan kesemua lima ahli keluarga suspek berusia antara 15 tahun hingga 62 tahun yang dipercayai anggota serpihan JI ditahan untuk siasatan lanjut.

BACA JUGA Sah penyerang Balai Polis Ulu Tiram anggota kumpulan JI

Â