Melihat cara Dr Dzulkefly bekerja, ini komen pegawainya

Seorang pegawai Menteri Kesihatan berkongsi pandangannya mengenai Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang disifatkannya sebagai tidak berhenti bekerja.

Menerusi laman X, Epul Roseman mengakui Dr Dzulkefly tanpa henti memikirkan kebajikan para doktor dan jururawat.

“YBMK (Yang Berhormat Menteri Kesihatan) sentiasa cari jalan untuk memperbaiki keadaan.

“Mohon bersabar, usaha penyelesaian sedang digerakkan. Perubahan memerlukan masa,” katanya.

Kenyataan itu susulan tular di laman sosial hantaran keluhan kakitangan perubatan sebuah hospital di Kedah yang memohon maaf kepada pesakit kerana perlu menunggu lama sehingga lima jam untuk bertemu doktor.

Luahan yang tertera pada papan putih itu antara lain memberitahu bahawa pihak hospital menghadapi kekurangan doktor dengan pegawai perubatan yang ada pula terpaksa bekerja hingga pengsan dan sakit.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly dalam reaksinya berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan supaya menempatkan semula doktor pelatih (HO) di hospital daerah yang memerlukan dengan kadar segera.

Menurutnya, segala langkah penambahbaikan jangka sederhana dan panjang juga sedang dilaksana oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam masa sama, beliau mengakui pasti banyak aduan akan diterima memandangkan terdapat sejumlah 147 hospital KKM dan lebih 3,000 klinik kesihatan di seluruh negara.

“Saya amat sedar dan insaf dengan keluhan petugas saban hari dan minggu.

“Teruskan menghantar maklum balas dan kritikan (hanya elakkan kata-kata yang mengundang dosa).

“Saya akan terus ambil perhatian dan bertindak, sementara meneruskan pelbagai pembaharuan saya,” katanya menerusi hantaran di laman X.

BACA JUGA Selepas tular doktor kerja sampai naik pengsan, ini arahan Menteri Kesihatan