PM Anwar jawab dakwaan 25 peratus baki saham Malaysia Airport akan dimiliki syarikat pro-Zionis

Laporan yang mengatakan 25 peratus baki saham Malaysia Airport Berhad (MAHB) akan dimiliki syarikat pro-Zionis adalah tidak berasas, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, dakwaan yang dibangkitkan pembangkang itu hanyalah semata-mata untuk melahirkan kebencian rakyat kepada kerajaan.

“Tiada yang positif daripada dia (pembangkang). Hanya menghasut penuh dengan kebencian dan dengki.

“Segala kenyataan kita yang diakui oleh dunia termasuk pertemuan dengan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh tidak beri sesuatu yang positif kepadanya.

“Yang dicari adalah fitnah dan hasutan. Ringgit dan bursa bertambah mengukuh itu hanya menyakitkan hati mereka (pembangkang),” ujarnya, dipetik Bernama.

Anwar berkata demikian dalam sidang media pada hari terakhir lawatan kerja rasmi dua hari ke Kazakhstan, hari ini.

Terdahulu, beliau ditanya mengenai laporan yang mengatakan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membeli saham MAHB sehingga 70 peratus, manakala lima peratus lagi akan dikuasai kerajaan Abu Dhabi.

Bagaimanapun, 25 lagi baki saham didakwa akan dimiliki oleh Global Infrastructure Fund, iaitu syarikat milik BlackRock berpangkalan di New York, dan penyokong kuat rejim Israel.

BACA JUGA Sah penyerang Balai Polis Ulu Tiram anggota kumpulan JI

Â