Selepas lebih tujuh bulan genosid, retak Kabinet Israel semakin menanti belah
Selepas lebih tujuh bulan berlangsungnya genosid di Gaza, keretakan pendirian pimpinan tertinggi kerajaan Israel dilihat menanti belah.
Mereka sudah tidak sehaluan mengenai pembunuhan di Gaza selepas salah seorang menteri Kabinetnya secara terbuka menuntut strategi jelas daripada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, mahu Netanyahu menjelaskan kewajaran untuk tentera Zionis kembali menyerang kubu pejuang Hamas di kawasan yang dianggap sudah ‘dibersihkan’ beberapa bulan yang lalu.
Pendirian Gallant yang juga tidak bersetuju jika Israel menubuhkan kerajaan tentera di wilayah terkepung itu turut menggambarkan perbezaan pendapat berhubung strategi mewujudkan keamanan dan keselamatan di wilayah berdarah itu.
Dalam masa sama, Netanyahu dilihat lemah dalam menentukan siapa yang akan bertanggungjawab mentadbir Gaza apabila perang tamat nanti.
Turut menyokong kenyataan Gallant itu ialah dua bekas jeneral tentera yang mempunyai pandangan politik sederhana dalam Kabinet, iaitu Benny Gantz dan Gadi Eisenkot, lapor Reuters.
Namun, parti nasionalis haluan kanan berteraskan agama yang diketuai Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Itamar Ben-Gvir, pula mengutuk tindakan Gallant.
Kematian di Gaza yang sudah melepasi 35,000 mangsa dengan puluhan ribu lagi tertimbus dalam runtuhan bangunan yang dibom menyaksikan Israel semakin dihujani kutukan masyarakat dunia.
BACA JUGA Melihat cara Dr Dzulkefly bekerja, ini komen pegawainya
Â