Setiausaha akhbar menteri mohon maaf atas kelakuan ‘tidak profesional’

Setiausaha akhbar kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memohon maaf atas perbuatannya yang ‘tidak profesional’ semasa sidang media kementerian itu semalam.

Nik Azmi Nik Fathil dalam satu kenyataan hari ini memberi jaminan bahawa kejadian seperti itu tidak akan berulang pada masa akan datang.

“Saya percaya saya perlu memohon maaf atas kejadian malang tadi (semalam).

“Saya minta maaf (kejadian sebegitu) berlaku dan saya memberi jaminan kepada anda (pengamal media) ia tidak akan berulang.

“Saya sentiasa berterima kasih atas jasa yang diberikan oleh pengamal media untuk membawa laporan yang baik kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Nik Azmi Nik Fathil

Terdahulu, Kelab Media Putrajaya melahirkan rasa terkilan dengan perbuatan tidak profesional Nik Azmi semasa sidang media semalam.

Kelab itu berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada pengamal media yang mendakwa Nik Azmi memperlekehkan wartawan yang bertanyakan penjelasan mengenai statistik yang diberikan dalam Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 kementerian itu, yang didedahkan semalam.

Nik Azmi juga dikatakan mencelah dan menjawab soalan wartawan bagi pihak menteri semasa sidang media.

BACA JUGA Ekonomi era Kerajaan Madani berkembang 4.2 peratus pada suku pertama

Â