Dua ditahan konon mahu jumpa Agong, polis jumpa ini dalam kereta
Polis menahan dua lelaki yang disyaki cuba menceroboh Istana Negara, Jalan Sultan Abdul Halim, di ibu negara petang semalam.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah Perodua Kembara pada mulanya cuba memasuki Istana Negara melalui Pintu 3, kira-kira jam 4.40 petang.
“Mereka mendakwa ingin berjumpa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Kita menjumpai sebilah parang dalam kereta yang dinaiki suspek sebelum bertindak menahan dua lelaki terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, suspek berusia 29 dan 37 tahun itu didapati negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.
“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari mulai hari ini sehingga Selasa (21 Mei) bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya lagi.
BACA JUGA MP Bukit Gantang anggap surat arahan Bersatu tiada makna