Jenazah Muhammad Syafiq selamat dikebumikan
Jenazah anggota polis Muhammad Syafiq Ahmad Said, 24, tiba di kediaman keluarganya di Taman Seri Mahkota Jaya, Batu 11, Jalan Kuantan-Gambang, petang ini.
Kira-kira 30 orang menyertai solat jenazah di kediaman Allahyarham yang turut disertai Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, pegawai serta ahli keluarga dan saudara mara.
Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Kuantan-Gambang, tadi untuk dikebumikan.

Turut menziarahi dan memberi penghormatan terakhir, pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Yunan Abdul Samad turut hadir menyampaikan sumbangan RM8,000, masing-masing RM5,000 daripada Kerajaan Pahang dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (RM3,000) kepada bapa Allahyarham Ahmad Said Md Piah, 65.
Allahyarham Muhamad Syafiq terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada jam 2.45 pagi semalam.
Turut terkorban, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, serta suspek berusia 21 tahun manakala Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera ditembak dan ditetak kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
BACA JUGA Selepas bahu dan pinggang ditembak, ini keadaan Koperal Mohd. Hasif
Â