Selepas bahu dan pinggang ditembak, ini keadaan Koperal Mohd. Hasif
Koperal Mohd. Hasif Roslan yang ditembak pada bahu dan pinggang dalam serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram di Johor Bahru semalam kini dalam keadaan stabil.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata demikian selepas melawat anggota polis berkenaan di Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini.
Saifuddin berkata, pihaknya berharap anggota polis berkenaan akan tabah berdepan cabaran berkenaan yang merupakan sebahagian tugas anggota keselamatan.
“Alhamdulillah syukur, keadaan Koperal Hasif sudah stabil. Saya sempat beri kata-kata semangat dan sampaikan sedikit sumbangan kepada beliau dan juga isterinya tadi.
“Semoga Koperal Hasif terus kuat semangat dan mampu meneruskan tugas semula,” katanya ringkas.
Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar.
Sekitar jam 2.45 pagi semalam, Hasif cedera terkena tembakan yang dilepaskan seorang lelaki bertopeng ketika menyerang balai polis berkenaan.
Beliau kemudian dikejarkan ke wad kecemasan HSI untuk rawatan lanjut.
BACA JUGA Perihal ‘drum up’ dan ketaksuban