‘Ada gelombang atau tidak, tapak itu tetap ada’ – AMANAH
Parti Amanah Negara (AMANAH) bakal melancarkan satu projek pada penghujung bulan depan yang dikenali sebagai Projek AMANAH (Pro-AMANAH).
Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, dalam projek melibatkan empat teras itu, ‘tapak’ perlu dibina terlebih dahulu.
Melihat kepada perkembangan dan perubahan politik yang berlaku, beliau menyifatkan keadaan tersebut tidak menjanjikan kepastian kepada sesebuah parti politik.
”Kita tidak tahu (sama ada) ianya berpihak kepada kita atau tidak.
”Kalau kita tidak menyediakan tapak (pada awalnya), pihak kita pun belum tentu lagi capai kemenangan kerana tiada kekuatan.
”Tetapi katakanlah gelombang baharu itu mahukan (menepati) cita-cita yang kita perjuangkan (dalam projek ini), maka tapak itu sudah disediakan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harapan Daily, di Shah Alam, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mujahid yang juga Ahli Dewan Negara berkata, ‘tapak’ itu merupakan kekuatan kepada AMANAH dalam jangka masa panjang di pentas politik tanah air.
”Apabila gelombang itu datang, kita akan naik.. kalau tak ada gelombang pun, kita tetap ada kekuatan (kerana sudah ada tapak) dan ia perlu bina dari sekarang.
”Gelombang ada atau tidak, tetapi tapak itu tetap ada. Itulah namanya Pro-AMANAH,” ujar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak itu.
Untuk rekod, Pro-AMANAH adalah usaha memposisikan parti untuk jangka masa panjang dan merupakan perancangan strategik melibatkan semua sayap daripada peringkat pemimpin hingga ke akar umbi.
Menurut Mujahid, teras pertama melibatkan nilai-nilai yang dikongsi bersama oleh semua ahli dan pemimpin AMANAH.
Teras kedua adalah berkaitan pengukuhan organisasi parti AMANAH itu sendiri.
Memasyarakatkan AMANAH adalah teras ketiga, sekali gus menyaksikan parti itu perlu berada dalam denyut nadi masyarakat.
Kemuncaknya adalah teras keempat iaitu memposisikan AMANAH dalam politik tanah air.
Sehubungan itu, Mujahid menyeru kepada semua ahli dan pimpinan AMANAH agar dapat memastikan kejayaan Pro-AMANAH yang akan dilancarkan pada akhir Jun depan.
Kupasan lebih lanjut mengenai empat teras itu boleh dibaca menerusi pautan di bawah.
BACA JUGA Pro-AMANAH bakal dilancarkan Jun ini, empat teras lonjakkan parti
Â