Penoreh getah menggeletar dapat rezeki terpijak menang RM1 juta

Siapa sangka nasib seorang penoreh getah berusia 57 tahun ini berubah sekelip mata selepas memenangi wang RM1 juta dan bergelar jutawan segera.

Johni Satur, terpilih menjadi jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi tahun ini.

Ketika ditemui pemberita, lelaki dari Sabah itu tidak menyangka langkah menyimpan wang yang dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dua tahun lalu membawa tuah kepadanya apabila menjadi orang ke-99 menerima RM1 juta.

Peribahasa tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, paling tepat menggambarkan situasi penoreh getah ini.

“Pada mulanya saya menyimpan wang yang dikeluarkan dari KWSP pada tahun 2022 di bank atas nasihat anak kedua. Itu pun sebab mereka bimbang jika saya ditipu oleh scammer.

“Kemudian pada minggu lalu, saya telah dihubungi mengatakan saya telah memenangi wang RM1 juta. Memang agak terkejut sehingga menggeletar seluruh badan selain takut kerana ada juga terfikir ia mungkin scammer.

“Tetapi selepas diperiksa di kaunter bank, memang betul saya mendapat cabutan SSP tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Lasau Minunsud.

Ditanya mengenai perancangannya terhadap wang yang diterima, Johni berkata, dia berhasrat untuk membina sebuah rumah lain memandangkan keadaan rumahnya yang daif ketika ini.

“Rumah saya ada kerosakan termasuk bocor di beberapa bahagian, kalau mahu tambah pun kawasan halaman rumah memang sempit jadi saya akan membina rumah di tapak lain.

“Selain itu, wang tersebut akan digunakan untuk pendidikan anak-anak memandangkan ada dua lagi anak saya masih bersekolah iaitu berada di Tingkatan Enam dan juga Tahun Satu.

“Umur saya pun sudah lanjut, jadi dengan pendapatan sebagai penoreh getah yang hanya RM500 sebulan mungkin tidak akan mencukupi membiayai pelajaran anak-anak,” katanya.

Sehubungan itu, Johni berkata, dia berterima kasih kepada pihak bank berkenaan yang memberi peluang kepada pelanggan merasai pengalaman sebagai jutawan walaupun dia hanya orang kampung biasa.

BACA JUGA Heboh Nurul Izzah jumpa Menteri China, rupanya bertemu atas kapasiti iniā€¦