Phua Chu Kang seronok makan nasi lemak Malaysia, siap makan guna tangan lagi

Pelakon sitkom popular, Phua Chu Kang atau nama sebenarnya Gurmit Singh tidak menafikan hidangan nasi lemak buatan Malaysia lebih menyelerakan.

Menerusi video berdurasi dua minit yang dikongsikan individu bernama @danieldiskl, TikToker tempatan itu membawa aktor tersebut ke sebuah restoran terletak di Kuala Lumpur untuk menikmati hidangan nasi lemak.

Dia juga sempat mengajukan pertanyaan, nasi lemak negara mana yang paling sedap.

Selebriti berusia 59 tahun itu kemudian tanpa ragu-ragu menjawab nasi lemak Malaysia lebih digemarinya.

“Nasi lemak manakah yang anda gemari, dari Malaysia atau Singapura?,” soal Daniel kepada pelakon yang sangat popular di negara ini pada awal 2000-an.

“Malaysia!,” jawab Gurmit.

Dalam video itu, Gurmit Singh dilihat bersahaja ketika memesan nasi lemak bersama lauk tambahan termasuk bergedil dan ayam goreng.

Pelakon itu juga menerima pujian daripada para penonton kerana terlihat tidak kekok ketika makan nasi lemak menggunakan tangan.

Selain nasi lemak, Gurmit sangat meminati nasi ayam dan juga hidangan popular masyarakat Cina iaitu Mi Hokkien yang disediakan tukang masak Malaysia.

Dia bagaimanapun menggemari beberapa hidangan yang dihidangkan di negara kelahirannya, Singapura termasuk Bak Kut Teh, Chili Crab dan Char Kuey Teow.

Difahamkan, pelakon terbabit datang ke Malaysia untuk mempromosikan rancangan komedinya yang bakal diadakan pada 20 Julai dan 21 Julai depan di Kuala Lumpur.

Rancangan tersebut melibatkan persembahan pentas yang berkonsepkan komedi.

BACA JUGA Orang kampung terpaksa mandi, basuh baju di sungai gara-gara perigi kering