Bukan setakat kubur diasingkan, jenazah suspek juga tidak boleh disolatkan di masjid
Kedudukan kubur suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram sehingga menyebabkan dua anggota polis terbunuh, perlu berjauhan dari kubur orang awam yang lain.
Perkara tersebut diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang telah bersidang Jumaat lalu dengan dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.
Mesyuarat itu bagi membincangkan status kematian anggota polis dan cara pengebumian suspek yang mati ditembak dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi Jumaat lalu.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam kenyataan hari ini, berpendapat tindakan menjarakkan kubur suspek berbanding kubur lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.
Jenazah suspek juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan pengebumian.
Jenazah juga hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja.
“Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek.
“Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek atas apa yang telah dilakukannya,” kata kenyataan berkenaan.
Jenazah penyerang insiden berdarah Balai Polis Ulu Tiram Jumaat lalu, dilaporkan dikebumikan pada jam 12.30 tengah hari di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di Batu 19, Kampung Sungai Tiram.
Pengebumian hanya dihadiri beberapa penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis yang mengawal ketat keadaan sekitar.
BACA JUGA Rawatan Faisal bukan fizikal semata-mata, ada rawatan lain diperlukan
Â