Selepas Teresa Kok terima ugutan bunuh, tak sangka Pas buat macam ini
Selepas ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok didakwa menerima ugutan bunuh dari individu tidak dikenali, Pas tampil mempertahankan wakil rakyat DAP itu.
Biarpun dua parti itu tidak sebulu, namun Pas menunjukkan solidariti dengan Teresa Kok dalam isu keselamatan serta perlindungan diri daripada apa jua perbuatan jenayah yang bertentangan dengan undang-undang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Teresa berhak mendapat semua perlindungan yang disediakan di bawah undang-undang negara, selain menjalani kehidupan sebagai seorang individu atau ahli politik dengan aman dan bebas daripada ketakutan serta ancaman.
Takiyuddin berkata, pihaknya juga mengambil maklum pihak polis telah memulakan siasatan kes di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui kaedah perhubungan sembunyi nama.
“Pas berharap ia dapat disegerakan kerana perbuatan jenayah seperti ini tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat kita.
“Kesegeraan siasatan dan pendakwaan ke atas pihak terbabit menjadi lebih utama kini memandangkan kekerapan berlakunya kes yang membawa unsur ganas dan merosakkan seumpama ini sejak kebelakangan ini, sama ada yang melibatkan ahli politik, anggota pasukan keselamatan, ahli sukan, ahli perniagaan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.
TErdahulu Kok dilaporkan menerima sepucuk surat ugutan mati yang dihantar bersama dua butir peluru.
Menerusi hantaran di Facebook, Teresa berkata dia menyedari surat berkenaan ketika ingin mengambil surat di dalam peti surat sejurus pulang ke kediamannya malam tadi.
Beliau kemudian menyedari satu sampul yang mengandungi benda yang agak keras sebelum mendapati ia adalah peluru.
BACA JUGA Padah masak mi segera di stesen minyak, polis dedah berapa ramai kena cekup