Fadhlina ‘belanja’ besar untuk cikgu-cikgu, nombor 4 tu sampai Indonesia pun cemburu

Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 yang diadakan pada 16 Mei lalu, Menteri Pendidikan telah mengumumkan enam inisiatif khas yang disediakan oleh KPM untuk semua cikgu dalam negara.

Inisiatif ini dirancang oleh KPM khas untuk memperkasakan guru dan agenda guru digital pada masa akan datang.

Dalam banyak-banyak inisiatif yang diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, ada satu program yang dicemburui negara jiran Indonesia – iaitu Cuti Cuti Cikgu.

Kami huraikan enam inisiatif yang diumumkan menteri, termasuk program Cuti-Cuti Cikgu.

1) Kursus Pemerkasaan Teknologi berjumlah RM1 juta

Bagi Kursus Pemerkasaan Teknologi, guru terpilih berpeluang untuk menyertai kursus itu dalam domain Kecerdasan Buatan (AI) daripada PIXLR.

Kursus dengan kos RM1 juta ini disasarkan kepada 500 guru terpilih seluruh negara bagi meningkatkan tahap pengetahuan dalam kecerdasan buatan dan menyokong pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran (PdP) melalui kaedah digital.

2) Kursus ‘Apple Teacher’

KPM akan bekerjasama dengan Pakar Pembelajaran Profesional Apple Malaysia untuk melatih dan membimbing 100,000 guru untuk diiktiraf sebagai ‘Apple Teacher’.

3) Sijil Profesional Digital

1,000 guru terpilih akan menghadiri kursus dan menerima Sijil Profesional Digital untuk diiktiraf sebagai Guru Jauhari Digital KPM.

4) Program Cuti-Cuti Cikgu

“Saya teringat (point) yang keempat ini. Semasa saya dalam kunjungan ke Indonesia tahun lepas, saya tidak tahu bahawa program ini menjadi satu program yang sangat dicemburui rakan-rakan kita di negara jiran.

Kerana mereka menyatakan inilah insiatif pertama yang mereka dengar khususnya berkaitan Cuti-Cuti Cikgu. Ini adalah antara perkara yang sering kami bincangkang bahawa kita harus komited dengan program-program seperti ini khususnya untuk terus menjaga kesejahteraan guru,” kata Fadhlina dalam ucapannya baru-baru ini.

Di bawah program ini, antara pakej ditawarkan adalah diskaun harga tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan darat serta taman tema melalui kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

5) Geran Penerbitan RM10,000

Dua geran penerbitan masing-masing bernilai RM10,000 akan diberikan kepada guru untuk menerbitkan penulisan berkenaan `Tokoh Guru Madani’ dan `Tokoh Kepimpinan Madani’.

Tawaran geran itu akan diberikan kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang memenuhi kriteria ditetapkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)

6) Indeks Kesejahteraan Guru

Kata Fadhlina, Indeks Kesejahteraan Guru akan dibangunkan bagi memastikan kesejahteraan guru sentiasa terpelihara.

“Ia adalah komitmen berterusan Kerajaan Madani terhadap golongan guru yang memainkan peranan penting mendidik generasi masa hadapan negara,” katanya.

BACA JUGA Hasbie tunjuk prestasi paling membanggakan, Mujahid bagi ‘A’ kepada Pemuda AMANAH