Penyasaran subsidi diesel hanya di Semenanjung, tapi ada berita baik untuk pengusaha bas, teksi

Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebagai permulaan, penyasaran subsidi diesel hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak. 

Pun begitu, para peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel seperti pengusaha bas dan teksi bakal mendapat pengecualian. 

“Bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel kepada para peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). 

“Ini termasuk pengusaha bas dan teksi. Kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu,” katanya ketika Perutusan Negara malam ini.

Anwar memberi jaminan bahawa kebajikan rakyat akan terus terpelihara bagi menangani kos sara hidup. 

Kerajaan juga bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil. 

Bantuan tunai ini pastinya tidak memanfaatkan golongan T20.

Dengan usaha penyasaran subsidi diesel ini, jumlah penjimatan kepada Kerajaan adalah dijangka (secara kasar) sekitar RM4 bilion setahun.

Sementara itu Anwar berkata, butiran terperinci berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi diesel akan diumumkan oleh kementerian berkaitan.

BACA JUGA Bukan setakat KDNK melepasi jangkaan, hampir semua sektor melonjak tahun ini