Tergamak pemuda lakukan ini ketika ibunya sedang solat, rupanya dah ada rekod

Gempar di Kampung Bongor, di Gerik semalam apabila seorang pemuda disyaki mencederakan ibunya menggunakan pisau pemotong getah dan sepana pembuka plug ketika wanita itu sedang solat di rumah mereka.

Suspek berusia 29 tahun yang dipercayai berhalusinasi itu turut mencederakan adik lelakinya berumur 15 tahun yang cuba menyelamatkan ibu mereka dalam kejadian ngeri itu.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (gambar atas), suspek dikatakan memukul ibu kandungnya berusia 54 tahun pada bahagian muka dan badan sebelah kiri secara bertubi-tubi.

Lapor BH, adik suspek yang sedang berada di dalam bilik air terdengar jeritan meminta tolong daripada ibu mereka lantas keluar dan melihat suspek sedang memukul ibu mereka bertubi-tubi.

“Dia turut dipukul apabila cuba menolong ibu mereka,” dipetik BH.

Kedua-dua mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Bersia, di Gerik, pada jam 7.50 pagi semalam dalam keadaan berdarah akibat kecederaan yang dialami.

Jelasnya, dua beranak itu kemudian mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut di Bahagian Kecemasan, Hospital Gerik, sebelum dimasukkan ke wad.

Mohd Yusri berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan lebam dan luka hirisan pada beberapa bahagian badan mangsa.

“Ibu suspek mengalami luka hirisan serta lebam pada bahagian atas kepala, pipi kiri dan sekitar bahu serta tangan kiri, manakala adik suspek pula mengalami luka hirisan pada bahagian betis kaki kanan, pergelangan tangan kanan dan calar di leher sebelah kiri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, suspek dipercayai berhalusinasi lalu bertindak mencederakan mangsa.

Bahkan, lelaki berkenaan dikatakan pernah dirujuk ke Hospital Taiping tetapi dibebaskan semula kerana didapati tiada mengalami sebarang masalah mental ketika itu.

“Suspek yang tidak bekerja (penganggur) juga didapati mempunyai rekod lampau kes jenayah membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan pada 2011 dan pernah ditangkap,” kata Mohd Yusri lagi.

BACA JUGA Tun M dakwa tiada terima notis mesyuarat RCI

Â