Kerajaan tak akan campuri proses kehakiman, agensi penguat kuasa
Kerajaan tidak akan mencampuri proses kehakiman dan memberi ruang sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras rasuah dan ketirisan hasil negara.
Perdana Menteri berkata, peranan Jabatan Audit Negara juga perlu diperkasa supaya tatakelola dalam perkhidmatan awam dapat ditambah baik.
“Hal ini kita tekankan untuk mendapat dukungan dan bertindak dengan begitu tegas dan baik serta menjalin perkhidmatan awam yang lebih teratur, bersih daripada rasuah, kelembapan dan kemalasan.
“Mungkin ada yang memandang remeh dan anggap ini sebagai slogan politik, tetapi akibatnya besar sekali yang mungkin tidak ramai sedari kesannya berantai dan menjalar hingga ke bawah.
“Yakinlah dan Insya-Allah, kita dapat banteras sekiranya kita bertindak secara konsisten, berani dan tegas (melawan rasuah) daripada peringkat tertinggi sehinggal serendah-rendahnya,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, malam tadi.
Dalam masa sama, Perdana Menteri meluahkan keyakinan isu rasuah dapat diselesaikan jika dibanteras secara konsisten dan tegas.
Tegasnya, perkara itu dapat dilihat dalam tender terbuka projek Rancangan Tebatan Banjir yang mampu jimat wang rakyat sehingga RM2 bilion.
Selain itu, jelasnya, sindiket penyeludupan di pintu masuk negara oleh sekelumit kecil pegawai awam berjaya ditumpaskan yang menyaksikan hasil negara tiris hingga RM2 bilion sejak 2017.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula, katanya, melancarkan Ops Tiris bagi membanteras penyeludupan diesel yang selama ini amat merugikan manakala kartel minyak masak, ayam dan telur dipecahkan supaya harga dan bekalan terkawal dalam meredakan kos sara hidup.
“Apakah angka-angka ini tidak bermakna buat kita? Sekiranya dikumpul, ia dapat dimanfaatkan untuk menambah bantuan rakyat dan meningkatkan mutu prasarana rakyat,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Selepas cipta pencapaian tertinggi, pelaburan asing ke Malaysia dijangka melonjak lagi
Â