Kita akan siasat, kata anak Hadi selepas tular parti pakai bikini

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, siasatan terperinci berhubung isu penganjuran sebuah parti berbikini di Pulau Lang Tengah pada 20 Mei lalu.

“Kita akan siasat terlebih dahulu, jika terdapat kesalahan, kita akan ambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.

“Tanggungjawab mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab bersama antara pihak berkuasa dan rakyat,” katanya, dipetik BH.

Heboh di media sosial mengenai penganjuran acara memaparkan sekumpulan wanita berpakaian seksi termasuk berbikini.

Berdasarkan poster yang tular, program maksiat dan mengundang bala itu dikatakan berlangsung di tepi pantai di Pulau Lang Tengah pada 20 Mei lalu.

Turut tersebar foto dan video yang dikatakan dari parti yang diisi nyanyian serta tarian memperalat tubuh wanita.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya akan memanggil pemilik pusat peranginan berhubung penganjuran parti seksi itu.

Katanya, pertemuan yang dijangka esok itu turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Razali berkata, pihaknya mahu meneliti jawapan daripada pihak premis swasta itu terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.

“Kita akan menyiasat perkara ini terlebih dahulu… jika ada kesalahan dari segi peraturan atau apa-apa akta, kita akan bertindak sama ada salah daripada segi garis panduan hiburan, pelancongan atau kelulusan permit,” katanya.

BACA JUGA Tergamak pemuda lakukan ini ketika ibunya sedang solat, rupanya dah ada rekod

Â