Ada yang sudah mampu berjalan, ini keadaan terbaharu rakyat Malaysia nahas pesawat SIA

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel memaklumkan enam penumpang yang menjalani rawatan di Hospital Samitivej Srinakarin sudah sedar dan beberapa daripada mereka mampu berjalan.

Menurutnya, kebanyakan daripada mereka mengalami kecederaan tulang belakang dan telah menjalani imbasan MRI dan CT.

Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat bertemu dengan anak kapal yang perlu menjalani pembedahan hari ini kerana kecederaan tulang belakang.

“Kami dimaklumkan dia (anak kapal) dalam keadaan stabil walaupun perlu menjalani pembedahan,” jelasnya, dipetik Bernama.

Jojie berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa Malaysia di Hospital Samitivej Srinakarin hari ini.

Menurutnya, Kedutaan Malaysia membantu keluarga anak kapal untuk melawat mangsa.

“Kami menyediakan bantuan kepada mangsa Malaysia serta keluarga mereka untuk datang melawat mereka.

“Kami juga diberi jaminan oleh SIA dan pihak hospital mereka akan menjaga semua mangsa,” katanya.

Beliau menambah bahawa Kedutaan Malaysia akan terus berhubung dengan Kedutaan Singapura dan SIA untuk memastikan semua pesakit dijaga dengan baik.

Sementara itu, katanya, tiga lagi rakyat Malaysia yang kini dimasukkan ke Hospital Samitivej Sukhumvit boleh keluar hospital tidak lama lagi.

“Kami diberitahu mereka tidak berada dalam keadaan kritikal dan mereka akan dibenarkan keluar bila-bila masa,” katanya.

Namun, Jojie berkata, ia akan mengambil masa untuk semua pesakit pulih sepenuhnya.

Beberapa mangsa pula, ujarnya, mungkin memerlukan penjagaan lanjut selepas pulih.

“Dalam situasi seperti ini, saya fikir tempoh pemulihan bergantung kepada setiap individu.

“Kami berdoa agar mereka dapat pulih secara fizikal dan emosi dengan segera, tetapi ia memakan masa,” tambah Jojie lagi.

Pada 21 Mei lalu, seramai 16 rakyat Malaysia antara 211 penumpang dan 18 anak kapal berada dalam penerbangan SIA SQ321 dari London ke Singapura.

Bagaimanapun, pesawat itu dibadai gelora udara yang terlalu kuat secara tiba-tiba Ketika melintas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 37,000 kaki, kira-kira 10 jam selepas berlepas.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan mengalihkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok, mendarat pada 3.45 petang waktu tempatan.

Kejadian mengerikan itu menyebabkan seorang lelaki British berusia 73 tahun meninggal dunia manakala puluhan penumpang cedera.

BACA JUGA Keputusan SPM 2023, ini cara semak mudah lagi pantas pada 27 Mei

Â