Maybank ‘panas’ jadi sebutan, ‘yang tolak dua kali tapi peniaga tak terima macam mana?’

‘Panas’ di media sosial sehingga muncul sohor kini di laman X deretan rungutan orang ramai terhadap Maybank yang tergendala sejak petang tadi.

Pengguna meluahkan rasa kecewa dan marah memandangkan tidak dapat melakukan transaksi sama ada untuk pembayaran atau pengeluaran tunai.

Walaupun Maybank pada jam 8.11 malam tadi memberitahu transaksi boleh dilakukan seperti biasa, namun masih muncul luahan rasa kesal kalangan mereka yang tidak dapat berbuat demikian.

“Masih tak boleh guna tadi di kedai.

“Yang tolak dua kali tapi peniaga tak terima macam mana?

“Saya baru cuba bayar guna kad debit. Masih tidak boleh guna,” demikian antara rungutan orang ramai di laman X rasmi Maybank sebentar tadi.

Antara perkhidmatan perbankan Maybank yang tergendala hari ini ialah laman Maybank2u (web dan aplikasi) dan aplikasi MAE.

Banyak urusan terganggu memandangkan ramai bergantung kepada pembayaran secara dalam talian atau e-pembayaran.

Bulan lalu, perkhidmatan Maybank juga tergendala mengakibatkan ramai meluahkan rasa geram dan malu kerana tidak boleh membuat pembayaran ketika membeli-belah.

Ada juga yang gagal membuat pembayaran selepas menjamu selera selain tersangkut di kawasan parkir kerana tidak boleh keluar.

BACA JUGA Tren KTMB sejak 2021 disewa khas, tiada minuman alkohol antara syarat ditetapkan

Â