Saya berani katakan Malaysia destinasi selamat melabur – PM Anwar
”Saya berani katakan bahawa Malaysia sesuai dengan keperluan (destinasi selamat untuk tujuan pelaburan)… terima kasih kepada kestabilan kita, tenaga buruh yang mahir, serta keadaan ekonomi dan geopolitik kita.”
Itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapatama di pentas Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) di Tokyo, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan berhubung status Malaysia sebagai destinasi selamat untuk pelaburan.
Beliau menyifatkan status berkenaan penting ketika pelabur khususnya dalam sektor pembuatan, mencari-cari destinasi selamat di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di seluruh dunia.
”Buktinya (kesesuaian Malaysia sebagai destinasi pelaburan) adalah pada angka.
”Pada 2023, Pulau Pinang selaku hab semikonduktor Malaysia menarik AS$13 bilion dalam pelaburan langsung asing, melebihi jumlah gabungan untuk tujuh tahun sebelumnya,” katanya lapor BH.
Anwar yang diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berada di negara matahari terbit itu sehingga esok.
Sebelum ini, Wisma Putra dalam kenyataan berkata, lawatan kerja itu adalah penyertaan pertama Perdana Menteri ke Persidangan Nikkei yang menjadi perhimpunan tahunan di mana pemimpin politik, ekonomi dan akademik dari rantau Asia Pasifik menyuarakan pendapat secara bebas serta terbuka mengenai isu serantau selain membincangkan peranan Asia di pentas dunia.
BACA JUGA Bekas Setpol Hamzah Zainudin didakwa terima rasuah RM350,000