Anwar punyai pendirian terhormat yang gagal dilakukan pemimpin Islam lain

Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka mendedahkan kepada dunia mengenai pertemuannya dengan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh, ia mendapat perhatian masyarakat antarabangsa termasuk negara-negara pro Israel.

Ketika sesi Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29 (Persidengan Nikkei) di Tokyo semalam, Anwar dihujani pertanyaan mengapa beliau melakukan pertemuan tersebut dengan Hamas.

Dalam persidangan itu, Anwar secara tegas mengatakan pertemuan itu bukan satu kesalahan, malah beliau berani mengakui pemimpin Hamas adalah rakannya.

Ucapan Anwar tersebar meluas, menarik perhatian banyak pihak termasuk Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia ini sebenarnya telah merentasi kepentingan politik dirinya. 

“Satu pendirian terhormat yang gagal untuk diambil oleh pemimpin-pemimpin muslim yang lain. 

“Semoga Allah memberikan kekuatan kepada beliau dan mengukuhkan langkah-langkah beliau,” titipnya dalam satu hantaran di Facebook.

Malaysia adalah antara negara lantang mengutuk kekejaman Zionis dan menyokong usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

BACA JUGA Kenapa juruterbang Singapore Airlines tak cuba elak ‘turbulence’? Ini penjelasan pakar