Kenapa juruterbang Singapore Airlines tak cuba elak ‘turbulence’? Ini penjelasan pakar
Seorang bekas juruterbang selama 42 tahun, Azizi Ali tampil menjelaskan mengenai apa yang berlaku terhadap Singapore Airlines SQ321 dan kekeliruan ramai terhadap gelora udara buruk.
Ia berikutan ramai yang membangkitkan persoalan mengapa juruterbang tidak cuba mengelak daripada ‘turbulence’ atau gelora udara ketika penerbangan dilakukan.
Menurut Azizi yang juga kini seorang pakar hartanah, juruterbang sememangnya boleh mengelak dari meneruskan penerbangan dalam keadaan gelora udara sedang buruk, namun ia tetap juga bergantung kepada cuaca ketika itu serta tahap gelora udara.
“Semua pesawat lain memang ada radar pengesan cuaca. Jadinya juruterbang memang boleh nampak tahap gelora udara dalam radar mereka
“Jika gelora udara berlaku disebabkan cuaca buruk, warna dalam radar akan menunjukkan signal merah. Sebaliknya jika hanya membabitkan gelora ringan, radar menunjukkan warna hijau. Bagi gelora tahap sederhana, warna radar adalah amber atau kuning.
“Juruterbang perlu minta izin daripada Air Traffic Control (ATC) untuk mengelak ‘turbulence’ tersebut. Mungkin belok kiri, atau kanan atau terbang lebih tinggi.
“Namun kadangkala juruterbang tak dapat mengelak ‘turbulence’ kerana awan itu terlalu besar contohnya lebih 100 batu atau 200 batu besarnya.
“Atau awan itu terlalu tinggi. Jadi tak dapat belok kiri atau kanan dan tak dapat ‘climb over the weather’. Inilah masanya kapal terbang terpaksa dibiarkan melalui cuaca buruk dan gelora udara,” jelasnya panjang.
Pada masa sama katanya, kebanyakan pesawat tidak mempunyai teknologi yang dapat mengesan Clear Air Turbulence (CAT), menyebabkan pesawat terpaksa menempuh perjalanan dengan gelora udara yang tiba-tiba berlaku.
CAT didefinisikan gangguan ketika cuaca cerah, terjadi di kawasan tidak berawan yang tiba-tiba menyebabkan pesawat bergoncang hebat.
CAT sangat sukar dikesan karena muncul secara mendadak dan tanpa adanya pertanda visual yang boleh ditangkap radar atau dari pandangan juruterbang.
“(Ada kes) pesawat terbang dalam ‘clear blue sky’ dan tiba-tiba boom! Terkena CAT. Kebiasaannya gelora udara ketika itu di tahap ringan atau sederhana.
“Tetapi kadangkala ‘turbulence’ itu boleh menjadi lebih buruk. Berdasarkan maklumat terkini, itulah yang telah berlaku kepada pesawat SQ321.
“Dan ia memerlukan masa untuk tukar level penerbangan kerana perlu dapat keizinan ATC dahulu. Untuk tempoh itu, pesawat akan melalui sahajalah gelora udara itu.
“Ini memang agak tidak selesa dan boleh membahayakan. Inilah satu sebab mengapa juruterbang sentiasa pakai tali pinggang keselamatan apabila mereka duduk di kerusi,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Pas berhasrat letak calon di tujuh kerusi milik Bersatu
Â