Dah ada tanda-tanda PN nak melingkup, kata UMNO

Kenyataan Mursyidul Am Pas untuk meletakkan calon di kesemua kerusi milik ahli Bersatu yang berpaling tadah, memberi petanda Perikatan Nasional bakal melingkup.

Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata, apabila seorang mursyidul Pas bersuara, ia menandakan pemimpin tertinggi parti itu tidak lagi menghormati rakan gabungan mereka.

Ia secara tidak langsung kata Lokman, memberi isyarat bahawa suara Bersatu tidak lagi ‘laku’ dalam PN.

“Kita lihat Bersatu sudah hilang taring akibat daripada pelbagai perkara yang menyebabkan Pas sendiri tidak menghormati kepimpinan Bersatu, Perikatan Nasional.

“Terlebih dahulu saya nak beri peringatan kepada Bersatu, bila Mursyidul Am Pas ini mula buka mulut, ini bermakna suara Bersatu dah tak laku lagi.

“Inilah gambaran jelas bibit awal kehancuran PN di mana suara Mursyidul Am Pas mendahului pengerusi PN iaitu Tan Sri Mahiaddin Md Yasin,” katanya dalam ulasan terbaru menerusi video di Facebook.

Terdahulu Pas menyatakan kesediaannya untuk meletakkan calon di tujuh kerusi milik Bersatu sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kerusi berkenaan ekoran tindakan ahli parti itu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Mengulas lanjut kata Lokman, kenyataan tersebut menandakan bahawa parti itu tamak haloba.

Beliau berpendapat, Pas tidak lagi meyakini rakan gabungannya mampu memberi saingan hebat kepada Kerajaan Perpaduan jika pilihan raya kecil diadakan di kerusi berkenaan.

“Ini jelas menunjukkan Pas dah tak hormat Bersatu. Malulah Din. Takkanlah nak biarkan semua kerusi yang sebelum ini dimiliki oleh Bersatu, tiba-tiba semuanya Pas nak bertanding.

“Dia nak rampas semua. Bayangkan betapa tamak halobanya Pas ini. Ini bermaksud Bersatu itu pun sudah tidak diyakini boleh memberikan cabaran kepada Barisan Nasional atau pun kepada Kerajaan Perpaduan di kerusi-kerusi yang telah mereka menangi sebelum ini. 

“Saya juga rasa cukup hairan kenapa kenyataan ini dikeluarkan oleh seorang yang begitu tinggi pangkatnya dalam Pas.

“Jarang Mursyidul Am Pas keluarkan kenyataan penting seperti ini kecualilah sudah berbincang dengan presiden Pas itu sendiri. Ini tanda-tanda tak lama lagi PN lingkup,” ujarnya.

BACA JUGA Anwar punyai pendirian terhormat yang gagal dilakukan pemimpin Islam lain