Jabatan Mufti Perak akan jawab kontroversi teks khutbah Jumaat

Jabatan Mufti Perak akan memberi penjelasan mengenai latar belakang dan juga maksud sebenar kandungan teks khutbah Jumaat yang menjadi perdebatan ramai di media sosial.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penjelasan itu penting bagi memurnikan situasi di samping memberi pemahaman kepada orang ramai.

Bernama melaporkan, Saarani mengesahkan teks khutbah itu disediakan oleh Jabatan Mufti dan telah ditandatangani oleh Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan menunggu penjelasan yang akan dibuat itu.

“Nasihat saya pada orang ramai tak perlulah kita mengamuk, mengamuk tak selesai masalah, tak perlu kita menghasut, menghasut pun tak selesai masalah, jadi kita bertenang,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2.0 Wilayah dan Jelajah Hari Usahawan, Agro, Koperasi Negeri Perak 2023, hari ini.

Beliau diminta mengulas banyak reaksi negatif mengenai kandungan teks khutbah Jumaat, semalam yang menasihatkan umat Islam supaya memberhentikan tindakan boikot terhadap premis dan jenama tertentu.

Saarani berkata, Mufti Perak telah memberi penjelasan mengenai perkara itu ketika mesyuarat Majlis Perundingan Masjid hari ini, yang dipengerusikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Menurutnya, mesyuarat majlis itu turut memutuskan bahawa Jabatan Mufti Perak akan memberi penjelasan lanjut mengenainya.

BACA JUGA Khutbah Jumaat di Perak sohor kini, buat ramai ‘panas’