Pas berhasrat letak calon di tujuh kerusi milik Bersatu
Pas menyatakan hasrat untuk meletakkan calon di tujuh kerusi milik Bersatu sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kerusi berkenaan ekoran tindakan ahli parti itu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, jika Pas diberi peluang bertanding, mereka bersedia untuk meletakkan calon.
Bagaimanapun katanya, sebarang keputusan rasmi bergantung kepada parti.
“Saya serah pada (keputusan rasmi) Pas, kalau diberi peluang bertanding kita sedia bertanding. Saya yakin kalau Pas diberi mandat bertanding, kita sudah bersedia.
“Saya juga yakin dalam suasana muhibah dalam komponen parti-parti PN, kita dapat selesaikan isu calon itu dengan sebaik-baiknya,” katanya seperti dilaporkan portal rasmi parti itu semalam.
Sebelum itu, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antaranya Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.
Susulan itu, Bersatu memberi tempoh 14 hari bermula Jumaat lalu kepada semua wakil rakyat mereka untuk menjawab surat arahan bertulis yang diedarkan.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan keahlian dalam Bersatu terhenti dengan serta merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu.
Sebelum ini, media melaporkan Perikatan Nasional (PN) yakin PRK bagi enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN perlu diadakan berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022, jika semua yang terlibat kekal dengan pendirian masing-masing.
BACA JUGA Khutbah Jumaat di Perak sohor kini, buat ramai ‘panas’