Khalid bantah bina perumahan atas kolam tadahan banjir
Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Khalid Samad membantah pemberimilikan beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur kepada pemaju hartanah, yang sepatutnya dijadikan Kolam Tadahan Banjir (KTB).
Khalid mendakwa, proses pemberimilikan tanah rizab KTB Kampung Bohol dibuat dalam tempoh yang sangat cepat iaitu 4 bulan sahaja tanpa melibatkan pemegang taruh termasuk ahli Parlimen Seputeh dan penduduk sekitar.
Bekas Menteri Wilayah itu juga menyatakan rasa kesal mengapa bantahan awam dibuka pada 20 Mei – iaitu selepas pemberimilikan dibuat kepada pemaju pada April tahun ini.
AMANAH WP juga hairan bagaimana proses pemberimilikan boleh dibuat ke atas tanah rizab berkenaan yang telah pun digazetkan sebagai taman rekreasi dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 (PTKL2020).
“Didapati pihak JKTWPKL telah mendahului DBKL mengenai prosedur penetapan zon guna tanah. Bantahan hanya dibuka pada 20 Mei 2024 hari Isnin selepas pemberimilikan dikeluarkan.
“Sambil itu AMANAH WP mendapati proses pemberimilikan dibuat dalam tempoh yang sangat cepat dimulai dengan proses tender pada Jan 2024 dan pemberimilikan pada April 2024
“Pemegang Taruh khususnya MP Seputeh dan penduduk sekitar umumnya perlu diberi notis awal dan dibawa berunding terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu kata Khalid, akibat daripada pengambil alihan pihak swasta untuk membangunkan perumahan di tanah rizab itu, akan menyebabkan pihak lebuhraya KESAS juga kehilangan rizab jalan. Maka mereka perlu dipanggil untuk berbincang.
Tambahnya, mitigasi terhadap kesan negatif terhadap keberkesan pembangunan yang dicadangkan perlu dijelaskan terlebih dahulu supaya warga KL tidak bimbang terhadap kesan negatif pembangunan tersebut
Pun begitu beliau berkata, pemberimilikan di peringkat memasukkan nama pemilik masih belum dilaksanakan lagi seperti mana dimaklumkan dalam taklimat kepada Menteri Wilayah Persekutuan yang diadakan pada 20 Mei 2024.
Justeru ujarnya, pemberimilikan masih boleh dibatalkan selagi nama pemilik yang sudah membayar premium tidak dimasukkan dalam ‘title’ tanah berkenaan.
BACA JUGA Kalau belajar agama, asingkan kubur kerana tujuan tertentu tidak pelik – UAI
Â