Jemaah haji dirai, Agong ucap selamat jalan

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat mengucapkan selamat jalan kepada 282 jemaah haji yang berlepas ke Tanah Suci dari Pusat Konvensyen Hotel Movenpick hari ini.

Seri Paduka tiba di pusat berkenaan pada jam 9.45 pagi tai sambil diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Turut berangkat sama anakanda baginda, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Sultan Ibrahim dalam majlis itu mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji kumpulan penerbangan ke-55 (KT055) yang dijadual berangkat ke Tanah Suci menaiki pesawat AMAL Malaysia Airlines MH8122 pada jam 1.30 tengah hari ini dan dijangka tiba pada jam 5.25 petang (waktu Arab Saudi).

Sementara itu, Mohd Na’im dalam ucapannya mengingatkan jemaah haji supaya menumpukan perhatian kepada amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci dan berhubung dengan petugas TH sekiranya berdepan sebarang masalah.

Menurutnya, jemaah juga dinasihatkan sentiasa menjaga kesihatan dan memakai gelang serta kad pengenalan diri yang dibekalkan TH supaya mudah dikenal pasti sekiranya berlaku kecemasan.

Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, sejumlah 16,000 jemaah sudah tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat sejak 9 Mei lalu dan akan berakhir pada 9 Jun ini.

BACA JUGA Nurul Izzah buktikan dia bakal antara pimpinan negara

Â