Rupa-rupanya ini yang dicadangkan Ahmad Zahid kepada MARA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus menghantar pelajar Malaysia ke China.
Beliau berkata, usaha tersebut bukan hanya dapat membuka pintu peluang pendidikan yang luas kepada pelajar dari Malaysia, tetapi dapat memupuk hubungan bilateral yang kukuh.
“Usaha itu juga membawa pulang ilmu dan pengalaman berharga untuk kemajuan negara kita.
“Semoga setiap usaha dan ikhtiar kita dapat dijayakan dengan sebaiknya. Insya-Allah,” tulis beliau di Facebook rasmi, hari ini.
MARA adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dikemudi oleh Ahmad Zahid sendiri selaku menterinya.
Terdahulu Ahmad Zahid meluangkan masa menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Komuniti dan Pelajar Malaysia di Shanghai.
Pada majlis tersebut, beliau menzahirkan rasa gembira kerana dapat bertemu mereka yang menjadi jambatan budaya dalam membina hubungan antara Malaysia dengan masyarakat tempatan.
“Saya turut menitipkan nasihat kepada pelajar agar study hard and smart dan ambillah peluang ini untuk memperkayakan diri dengan ilmu dan teknologi terkini serta nilai-nilai baik yang terdapat di sini,” ujar beliau lagi.
Wisma Putra sebelum ini, memaklumkan lawatan rasmi Ahmad Zahid bertujuan memperkukuh hubungan dua hala, selain beliau dijangka meneroka peluang kerjasama, terutama dalam bidang pendidikan memfokuskan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan industri halal serta pertukaran antara rakyat.
Lawatan rasmi itu sempena undangan Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang itu adalah yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022.
Ahmad Zahid juga dijadualkan berlepas ke Beijing Selasa ini, dan dijangka melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Li Qiang.
BACA JUGA Selepas 12 hari ditidurkan, ini keadaan Adun Pas sekarang
Â