Anda benteng utama lawan penyebaran berita palsu, siapa dimaksudkan?

Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan wartawan adalah benteng utama dalam melawan penyebaran berita palsu dan maklumat yang mengelirukan.

Beliau berkata, dalam era teknologi maklumat yang berkembang pesat, peranan wartawan semakin mencabar, namun ia menjadi lebih penting berbanding sebelumnya.

”Anda semua adalah mata dan telinga rakyat yang membawa suara mereka.

”Sebagai pemimpin, saya hormati dan akui peranan penting warga media.

”Tanpa usaha gigih dan dedikasi anda, masyarakat kita pasti sukar membuat keputusan bijak yang didasari maklumat tepat,” katanya dalam satu catatan di Facebook beliau, hari ini.

Beliau menulis catatan itu sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang julung kali diadakan di Kuching, Sarawak bermula Sabtu lalu.

Sambutan HAWANA 2024 akan melabuhkan tirainya petang ini dengan acara kemuncak perasmian dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan Sarawak dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana kali ini mengangkat tema Etika Teras Kewartawanan Mapan.

Dalam catatan sama, Nanta Linggi menzahirkan keyakinannya dengan tema itu yang disifatkannya sebagai pegangan oleh majoriti pengamal media di Malaysia yang meletakkan keutamaan kepada amalan responsible journalism demi menyampaikan berita yang membina rakyat serta negara.

Katanya, golongan wartawan adalah mata dan telinga rakyat yang membawa suara mereka dan sebagai pemimpin, beliau menghormati dan mengakui peranan penting warga media.

”Tanpa usaha gigih dan dedikasi anda, masyarakat kita pasti sukar membuat keputusan bijak yang didasari maklumat tepat.

”Pada hari yang penuh bermakna ini, saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada anda semua yang telah bertungkus-lumus menyampaikan berita dan maklumat yang tepat, seimbang dan bermutu kepada masyarakat di negara ini.

”Teruskan berkhidmat dengan penuh dedikasi, jujur dan berani,” ujar beliau yang juga Menteri Kerja Raya.

BACA JUGA Pelajar B40 ini berita baik untuk anda

Â