‘Apa saja keputusan, tenang-tenang sahaja ya…’ – Ahmad Zahid
Debaran semua calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akhirnya terjawab apabila keputusan peperiksaan itu diumumkan hari ini.
Susulan pengumuman tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menitipkan pesanan kepada penerima keputusan agar menjadikannya titik tolak untuk meraih lagi kejayaan pada masa akan datang.
”Walau apa jua keputusan yang telah diterima, tenang-tenang sahaja ya.
”Insya-Allah banyak lagi peluang yang menanti anda semua. Mudah-mudahan,” katanya menerusi satu catatan di Facebook beliau, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong dan memberi dorongan kepada pelajar.
”Ibu bapa yang tidak henti membimbing dan mendoakan hinggalah guru-guru yang sentiasa komited memberikan yang terbaik kepada anak-anak murid.
”Saya bangga dengan anda semua. Semoga segalanya yang baik-baik untuk kamu semua,” ujar beliau lagi.
Untuk rekod, SPM 2023 menyaksikan seramai 11,713 calon meraih keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, pencapaian calon SPM bagi tahun 2023 di seluruh negara adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
BACA JUGA 11,713 calon SPM 2023 raih semua A