Menteri dibenar batal saman dikemuka Ahmad Dusuki

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil untuk membatalkan tuntutan balas yang dikemukakan oleh penceramah Pas, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain yang membuat keputusan itu memerintahkan Ahmad Dusuki membayar kos RM5,000 kepada anak guamnya.

“Mahkamah membenarkan permohonan Fahmi antaranya atas alasan tuntutan balas Ahmad Dusuki tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah.

“Sehubungan itu, keseluruhan tuntutan balas yang dikemukakan Ahmad Dusuki terhadap Fahmi dibatalkan.

“Mahkamah menetapkan perbicaraan kes saman Fahmi terhadap Ahmad Dusuki bermula 6 hingga 8 April 2026,” lapor Bernama.

Fahmi Fadzil

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai memfailkan saman terhadap bekas calon Pas bagi DUN Kota Anggerik, Selangor pada PRU 2018 itu pada 5 September tahun lalu.

Dusuki didakwa menyiarkan kata-kata fitnah mendakwa Fahmi menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah serta perintah Sultan Selangor.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkenaan mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023.

Fahmi berkata, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesahkan beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti didakwa oleh Ahmad Dusuki.

Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu dibuat bagi memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasi beliau sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet.

Ahmad Dusuki kemudian memfailkan tuntuan balas terhadap Fahmi pada 19 Oktober 2023 yang antara lain mendakwa plaintif memfitnah beliau dan membuat kenyataan palsu yang tidak pernah diucapkan olehnya.

BACA JUGA Indeks Kebebasan Media, ini apa yang dijelaskan Fahmi