MB Pahang fail afidavit sokong permohonan Najib
Menteri Besar Pahang memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak, mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Afidavit Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu diikrarkannya menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co, di Mahkamah Tinggi, pada 21 Mei lalu.
Najib, 70, memfailkan permohonan kebenaran itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April lalu, menerusi Tetuan Shafee & Co.
Bekas Perdana Menteri itu menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Beliau yang juga suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu memohon perintah supaya semua responden atau seorang daripada mereka diarah menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
BACA JUGA Pelajar B40 ini berita baik untuk anda