Nikmati BUDI MADANI dengan mendaftar sistem KPKM

Golongan petani, penternak dan pengusaha akuakultur perlu berdaftar dengan Sistem Pendaftaran GeoAgro, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mendapatkan bantuan tunai subsidi diesel melalui Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.

Mereka terbabit yang layak, boleh mendaftar dengan Sistem Pendaftaran GeoAgro berkenaan di pautan https://geoagroregister.kpkm.gov.my sebelum membuat permohonan di Portal BUDI MADANI di pautan https://budimadani.gov.my.

KPKM menerusi kenyataan hari ini turut memaklumkan subsidi dan insentif sedia ada kepada golongan nelayan dan pesawah akan terus dikekalkan.

“Bagi nelayan, kerajaan akan terus memberikan subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter kepada kategori pemilik vesel perikanan Zon A, B dan C, tertakluk kepada kuota yang ditetapkan.

“Sebagai tambahan, kerajaan juga bersetuju menambah baik kadar sedia ada bagi insentif pembajakan iaitu daripada RM100 sehektar semusim kepada RM160 sehektar semusim dan memperkenalkan insentif penuaian pada kadar RM50 sehektar semusim.

“Menerusi kenaikan kadar ini, pesawah terbabit akan menerima bayaran insentif pembajakan dan insentif penuaian sebanyak RM210 sehektar semusim,” menurut kenyataan itu.

Selain bantuan tunai kepada pengusaha sektor pertanian, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut membantu syarikat sektor pertanian dengan pemberian ‘fleet card’ diesel bersubsidi kepada kenderaan pengangkutan yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0.

Ini termasuk lori rigid hasil pertanian dan lori rigid kandang haiwan dan permohonan perlu dibuat melalui Sistem MySubsidi Diesel di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.

Hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan pelaksanaan BUDI MADANI susulan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel, di Semenanjung.

Justeru, bagi membantu menstabilkan kos operasi sektor pertanian, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 di bawah inisiatif BUDI Agri-Komoditi kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Sebarang pertanyaan berkenaan bantuan tunai subsidi diesel sektor pertanian boleh diajukan kepada Bilik Gerakan KPKM di talian 03-8870 1207 / 1147, bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang pada hari bekerja atau emel kepada geoagroadmin@kpkm.gov.my.

Pemohon juga boleh hadir ke jabatan atau agensi KPKM yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat pengisian borang permohonan.

BACA JUGA Indeks Kebebasan Media, ini apa yang dijelaskan Fahmi

Â