Bakal dapat RM200 sebulan, pemilik kenderaan diesel boleh buat permohonan hari ini
Pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi daripada golongan B40 dan M40 di Semenanjung, layak mendapat bantuan tunai sebanyak RM200 setiap bulan.
Mereka layak memohon sumbangan tunai kerajaan melalui Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani, mulai hari ini 28 Mei.
Kementerian Kewangan menerusi kenyataan memaklumkan pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu, boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu.
Manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori Budi Agri-Komoditi.
“Penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori, akan disalurkan Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seirin exg dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” menurut kenyataan itu seperti dilapor Bernama.
Kementerian Kewangan memaklumkan, pelaksanaan itu susulan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lepas, berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung.
Menurut kenyataan itu kriteria kelayakan bagi kategori Budi Individu ialah, pemohon merupakan warganegara Malaysia; memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun.
Selain itu, kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif; dan pendapatan tahunan individu atau pasangan berjumlah RM100,000 dan ke bawah.
“Setiap permohonan diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20),” menurut kenyataan itu.
Bagi Budi Agri-Komoditi, kriteria kelayakan adalah pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), serta pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.
Menurut kenyataan itu permohonan Budi Madani boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://Budimadani.gov.my, yang akan dibuka sepanjang tahun.
“Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima Budi Madani pertama mereka menjelang pertengahan Jun 2024 dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.
“Bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun 2024, akan menerima Budi Madani pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan,” menurut kenyataan.
Kementerian Kewangan memaklumkan Budi Madani akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan, manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut Budi Madani secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung.
Untuk memohon dan mengetahui lebih lanjut berhubung syarat kelayakan Budi Madani, orang ramai boleh melayari https://BudiMadani.gov.my atau boleh menghubungi talian bantuan Budi Madani di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di alamat BudiMadani@treasury.gov.my.
BACA JUGA Fahmi Fadzil dibenar batal saman dikemuka Ahmad Dusuki