Dah ragut lapan nyawa musim ini, giliran pendaki India pula jadi mangsa
Puncak tertinggi dunia rupanya telah meragut lapan nyawa bagi musim pendakian kali ini apabila seorang pendaki warga India meninggal dunia semalam.
Lapor AFP, mangsa Banshi Lal, 46, sebelum itu diselamatkan dari Gunung Everest minggu lepas dan dibawa ke hospital dekat Kathmandu.
“Dia meninggal dunia di hospital semalam,” kata Rakesh Gurung yang merupakan pegawai pelancongan Nepal.
Sementara itu, tiga mangsa iaitu seorang pendaki British dan dua juru pandu Nepal antara lapan tersenarai hilang tetapi dianggap mati.
Kematian terbaru itu berlaku ketika musim pendakian Gunung Everest menghampiri penghujungnya, dengan jumlah kematian agak rendah direkodkan berbanding tahun sebelum ini.
Tahun lalu merekodkan musim paling dahsyat di gunung yang berketinggian 8,849m itu dengan 18 kematian.
Tiga lagi pendaki yang maut termasuk seorang warga Romania ketika mendaki Gunung Lhotse yang berjiran dengan Gunung Everest.
Seorang lagi pendaki warga Perancis dan Nepal meninggal dunia di Gunung Makalu, puncak kelima tertinggi dunia.
Nepal merupakan ‘rumah’ bagi lapan daripada 10 puncak tertinggi di dunia.
Negara itu telah mengeluarkan lebih 900 permit untuk aktiviti pendakian di gunung negara tersebut tahun ini, termasuk 419 untuk Everest.
Pengeluaran permit sebanyak itu membolehkan Nepal mengaut lebih daripada $5 juta dalam bentuk royalti.
Ratusan pengembara ingin menawan puncak Everest setiap musim bunga yang lazimnya suhu ketika itu panas, berangin dan tenang.
Semua kes kematian di Gunung Everest berlaku di kawasan atas 8,000 meter yang dikenali sebagai zon kematian.
Udara nipis dan paras oksigen rendah di zon maut itu menajamkan risiko penyakit ketinggian.
Pendaki biasanya mengambil masa berhari-hari untuk sampai ke puncak gunung setinggi 8,849 meter.
Mereka perlu bermalam di kem berbeza untuk berehat dan menyesuaikan diri.
Setakat ini lebih 6,000 orang telah berjaya menjejak puncak Everest.
Jumlah kematian yang dicatatkan pula sehingga ini adalah melebihi 340 orang atau secara purata lima pendaki meninggal dunia setiap musim pendakian di Everest.
Kematian pertama yang direkodkan di Everest ialah tujuh tenaga buruh yang terkorban dalam runtuhan salji dalam ekspedisi British Mount Everest pada 1922.
BACA JUGA Gurauan gaun dipakai Aishwarya Rai, Chef Wan minta maaf
Â