Malaysia gesa masyarakat antarabangsa ambil langkah laksana keputusan ICJ

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa supaya melaksanakan keputusan yang ditetapkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menghentikan keganasan Israel.

Wisma Putra menerusi kenyataan berkata, serangan berterusan rejim Zionis menunjukkan Israel tidak menghormati badan kehakiman tertinggi dunia dan prinsip yang dipegangnya.

“Malaysia bimbang ketidakpedulian masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman ini akan memburukkan situasi kemanusiaan yang semakin genting di Gaza.

“Dengan tindakan Israel itu, Malaysia khuatir ia akan menggugat aturan dunia, yang jelas berdasarkan kepada prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa,” menurut Wisma Putra.

Terdahulu, Israel menyerang kawasan barat Rafah yang ditetapkan sebagai zon selamat.

Akibatnya, lebih 35 orang maut dan ramai lagi cedera selain banyak khemah didiami musnah terbakar ketika genosid berlanjutan memasuki bulan kelapan.

Sehubungan itu, Wisma Putra berkata, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk negara anggota Konvensyen Genosid untuk mengambil langkah yang perlu bagi melaksanakan keputusan ICJ, menghapuskan pengecualian hukuman dan terus berusaha ke arah mencapai keamanan berkekalan di Asia Barat.

“Keganasan berterusan ini hanya akan dapat dihentikan melalui usaha komited ke arah perjanjian damai yang komprehensif, demi memastikan rakyat Palestin dapat hidup dengan bermaruah, rasa hormat dan selamat pada masa hadapan,” katanya lagi.

BACA JUGA Nikmati BUDI MADANI dengan mendaftar sistem KPKM

Â