Walaupun prestasi meningkat, peratusan pelajar ambil mata pelajaran sains tulen merosot
Walaupun prestasi calon yang mengambil mata pelajaran seperti Matematik Tambahan dan tiga subjek sains tulen meningkat tetapi peratusan pelajar yang mengambil mata pelajaran keempat-empat subjek itu merosot.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mendapati trend pelajar mengambil mata pelajaran seperti Matematik Tambahan dan tiga subjek sains tulen iaitu Fizik, Kimia serta Biologi merekodkan penurunan.
Menterinya, Chang Lih Kang, berkata trend itu berdasarkan calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang merekodkan penurunan sebanyak 3.33 peratus bagi mata pelajaran Matematik Tambahan, Biologi (2.2 peratus), Fizik (1.42 peratus) dan Kimia (1.42 peratus) berbanding tahun 2022.
“Berdasarkan trend penurunan pelajar yang mengambil subjek sains tulen ini, MOSTI memerlukan strategi dan sinergi bersepadu dari semua pihak berkepentingan melalui pendekatan ‘quadraple helix’ supaya bakat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) dapat dibangunkan untuk mencapai misi dan aspirasi negara maju berteknologi tinggi menjelang 2030 kelak.
“Mata pelajaran ini penting kerana menjadi prasyarat untuk membolehkan mereka ke peringkat pengajian tinggi dalam aliran teknologi tinggi seperti bidang perubatan, kejuruteraan, farmasi, bioteknologi dan cabang jurusan berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Lih Kang berkata, berdasarkan keputusan SPM 2023 yang diumumkan semalam, semua empat mata pelajaran elektif Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) bagi sains tulen iaitu Kimia, Fizik dan Biologi termasuk Matematik Tambahan merekodkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, mata pelajaran Fizik khususnya mencatatkan peningkatan prestasi tertinggi, iaitu sebanyak 0.22 mata, menjadikan mata pelajaran berprestasi terbaik dalam kumpulan elektif STEM dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 4.15 mata.
“Pembelajaran Fizik adalah penting dalam pelbagai bidang sains, justeru murid yang menguasai bidang ini berpotensi menjadi bakat dalam bidang kejuruteraan, sains perubatan dan pelbagai bidang teknologi.
“Ujian Amali Sains (UAS) sebagai satu daripada kertas peperiksaan Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan pula, adalah selari dengan strategi memartabatkan pendidikan STEM di bawah Teras 4 Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030,” katanya.
Beliau berkata, MOSTI melalui Jawatankuasa Pemandu Bakat STI amat teruja dengan peningkatan pencapaian bagi semua mata pelajaran STEM di peringkat SPM, yang mempunyai makna dalam mencorakkan pola pendidikan pada peringkat lebih tinggi.
“MOSTI optimis melalui pemerkasaan pendidikan STEM yang dinamik akan merealisasikan impian menjadikan masyarakat Malaysia berpengetahuan tinggi dan berfikiran kritikal bagi mendepani era ekonomi digital.
“Pencapaian dalam subjek STEM di peringkat SPM adalah langkah bermakna ke arah membina rakyat Malaysia yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan berpacukan inovasi,” katanya.
BACA JUGA Mat Sabu lancar buku Husam, beri gambaran hubungan baik
Â