Cecah suhu tertinggi 49.9 darjah Celsius, bekalan air dicatu

New Delhi mencatatkan suhu tertingginya, 49.9 darjah Celsius sehingga memaksa bekalan air dicatu.

Jabatan Meteorologi India (IMD) melaporkan gelombang haba teruk, dengan rekod suhu lebih tinggi dicatat semalam di dua stesen pinggir bandar Delhi di Narela dan Mungeshpur.

Menurut Biro Cuaca, suhu direkod adalah sembilan darjah lebih tinggi daripada jangkaan.

IMD menjangkakan suhu sama direkod hari ini untuk bandar yang mempunyai lebih 30 juta penduduk itu, dengan notis amaran merah sudah dikeluarkan untuk orang ramai supaya lebih berwaspada.

Lapor AFP, suhu di Delhi pernah mencecah 49.2 darjah Celsius pada Mei 2022.

Suhu di ibu negara India melonjak ke paras tertinggi 49.9 darjah Celsius semalam.

Musim suhu panas ekstrem lazim berlaku di India tetapi kajian mendedahkan perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih lama, lebih kerap dan terik.

Pihak berkuasa New Delhi sudah memberi amaran mengenai risiko kekurangan air, apabila ibu kota itu dilanda musim panas, mengakibatkan bekalan ke beberapa kawasan dipotong.

Menteri Air, Atishi Marlena sudah meminta semua pihak bertanggungjawab bagi menghentikan penggunaan air yang membazir.

“Untuk menangani masalah kekurangan air, kami sudah mengambil beberapa langkah seperti mengurangkan bekalan air daripada dua kali sehari kepada sekali sehari di banyak kawasan.

“Air yang dijimatkan itu akan dicatu dan dibekalkan ke kawasan yang mengalami kekurangan air, di mana bekalan hanya mampu bertahan 15 hingga 20 minit sehari,” katanya.

Dalam masa sama, IMD turut memberi amaran mengenai kesan haba terhadap kesihatan, terutamanya bayi, warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

BACA JUGA Fahami dulu betapa ‘lumayan’ seludup diesel sebelum bangkang subsidi bersasar