Kontrak kepada suami Hannah bukan rundingan terus, ada 2 syarikat lain dapat tender
Susulan isu pemberian kontrak kepada syarikat suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, kerajaan Selangor menegaskan pihaknya tidak pernah memberikan kontrak berkait Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) kepada satu syarikat sahaja.
Sebaliknya, Exco Selangor, Ng Sze Han berkata kerajaan telah melantik dua syarikat untuk proses pembuktian konsep (POC) untuk dilaksanakan selama sembilan bulan terlebih dahulu.
Syarikat tersebut adalah Asia Mobility Sdn. Bhd dan Badan Bas Coach Sdn. Bhd.
Jelas Ng, proses penglibatan kedua-dua syarikat yang menyertai proof of concept dibuat secara proses Request-for-Proposal (RfP) dan bukan rundingan terus seperti yang didakwa segelintir pihak.
“Keputusan untuk melibatkan hanya dua syarikat kerana apabila kerajaan negeri mengambil langkah untuk memulakan proses proof of concept bus-on-demand ini, hanya dua syarikat yang diberikan lesen untuk menyertai proof of concept oleh agensi Persekutuan iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat yang dikenali sebagai APAD.
“Tugas APAD adalah untuk menetapkan syarat dan garis panduan supaya syarikat yang menyertai proof of concept ini dapat menepati piawaian yang ditetapkan.
“Berdasarkan maklumat ini, jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melibatkan kedua-dua syarikat dalam proses proof of concept secara sama rata supaya satu syarikat tidak memonopoli proses pengujian ini dan warga Selangor dapat menilai keberkesanan, keselesaan dan tahap efektif perkhidmatan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu kata Ng, merujuk kepada persoalan mengapa Ram Ramachandaran yang merupakan suami Hannah Yeoh diberikan kontrak kerajaan negeri, penting untuk dinyatakan bahawa penilaian oleh Jawatankuasa dibuat berdasarkan kemampuan syarikat yang telah melepasi saringan awal oleh APAD dan kemudiannya diberikan kelulusan menyertai proof of concept.
Pada masa sama, satu lagi syarikat yang mendapat kontrak kerajaan Selangor adalah tokoh perniagaan Melayu yang berpengalaman, iaitu Badan Bas Coach Sdn. Bhd. yang diasaskan oleh Tan Sri Nadzmi Mohd Salleh.
“Beliau turut diberikan peluang yang sama untuk mengukuhkan usaha pengangkutan awam Kerajaan Negeri yang berhasrat menyediakan perkhidmatan van dan bas mini kepada warga Selangor pada harga dan kos yang berpatutan,” katanya.
Pada masa sama kata Ng, awal bulan ini kerajaan negeri telah menerima penyertaan daripada satu lagi syarikat yang berhasrat terlibat sama dalam proses proof of concept, iaitu Kumpool Sdn. Bhd. yang telah menerima kelulusan daripada APAD untuk menyertai proof of concept.
Cadangan itu katanya sedang dinilai supaya dapat dilibatkan dalam fasa berikutnya.
“Kerajaan negeri yakin bahawa proses penilaian Request for Proposal dan keputusan melibatkan syarikat-syarikat ini dilaksanakan dengan hemat dan asas yang kukuh serta menepati syarat dan garis panduan undang-undang sedia ada,” ujarnya.
BACA JUGA Individu dakwa ada ‘ustaz selebriti’ kerap merepek dan baca hadith palsu dalam ceramah