Padah terima rasuah lebih RM39,000, empat lagi anggota Kastam didakwa

Seramai empat lagi pembantu penguasa Kastam didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 49 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM39,800.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menerima rasuah daripada seorang pemilik syarikat berusia 38 tahun sebagai dorongan tidak memeriksa lori-lori milik syarikat itu yang membawa barangan dari kargo KLIA, sejak tujuh tahun lalu.

Alias Mat Yusop, 48; Mohd Rizal Othman, 43; Mohd Shahril Mohd Sukaimi, 39, dan Mohd Hanafi Che Mat mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Anita Harun.

Mohd Rizal didakwa atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM15,350 manakala Mohd Hanafi, 10 suapan (RM12,600), Mohd Shahril, 26 suapan (RM8,450) dan Alias, empat suapan (RM3,400).

Mereka didakwa secara rasuah menerima suapan menerusi pemindahan dalam talian ke akaun bank masing-masing, di cawangan bank sekitar KLIA2 di Sepang, Kajang, Puchong dan Salak Tinggi antara Februari 2017 hingga April 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada Mohd Rizal dan Mohd Hanafie manakala Mohd Shahril dan Alias, masing-masing RM10,000 serta RM8,000.

Semua lelaki ini juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM, Putrajaya sekali setiap bulan dan tidak menggangu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes ini, pada 11 Julai depan.

Terdahulu, seramai empat anggota Kastam yang ditahan dalam Ops Samba 2.0 didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menerima suapan antara RM1,200 hingga RM32,300 berhubung kes serupa.

BACA JUGA Kontrak kepada suami Hannah bukan rundingan terus, ada 2 syarikat lain dapat tender

Â