Ramai kanak-kanak di empat negeri ini tiada Mykid, Kelantan dan Kedah tersenarai
Empat negeri yang bersempadan dengan Thailand iaitu Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak mencatat jumlah paling ramai kanak-kanak yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri selepas mereka dilahirkan.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias, perkara tersebut terjadi berikutan perkahwinan ibu bapa mereka di Thailand tidak teratur dan tidak didaftarkan di negara ini.
Katanya, perkahwinan tidak teratur membabitkan kes berkahwin di luar negara dan tidak didaftarkan semula di dalam negara disebabkan perkahwinan tersebut dilangsungkan tanpa kebenaran.
“Perkara itu menjadi isu utama yang berlaku di negeri-negeri bersempadan seperti Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak.
“Komitmen JPN adalah untuk membantu segala urusan pendaftaran, namun hak untuk mendaftar perkahwinan adalah bergantung kepada individu masing-masing.
“Justeru, semua golongan masyarakat diseru untuk mendaftarkan perkahwinan kerana ia boleh memberi kesan kepada taraf kewarganegaraan anak-anak,” katanya dalam sidang media selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar), Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Chenok di sini hari ini.
Dalam pada itu, Badrul Hisham memberitahu, pihaknya telah menerima lebih 22,000 permohonan dokumen pengenalan diri melalui program Mekar di seluruh negara setakat Mei tahun ini.
BACA JUGA Kontrak kepada suami Hannah bukan rundingan terus, ada 2 syarikat lain dapat tender