Laporan rasmi keluar, terjawab akhirnya punca dua helikopter TLDM berlanggar

Dua faktor telah dikenal pasti sebagai punca nahas helikopter yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada kejadian 23 April lalu.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, berdasarkan laporan akhir dikeluarkan Lembaga Siasatan hari ini, faktor utama mendapati pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan yang telah ditetapkan serta telah memasuki laluan pesawat HOM AW139.

Faktor kedua pula seperti dilaporan BH adalah berkaitan channelized attention oleh kru pesawat HOM AW139, yang tertumpu ke arah penukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran.

“Berdasarkan rakaman kedudukan semua pesawat berkenaan, dua helikopter yang terbabit dalam nahas udara berada pada haluan dan ketinggian berbeza dengan dua lagi pesawat yang berada di haluan sebelah kanan.

“Faktor sekunder mendapati Channelized attention atau tumpuan utama kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah pertukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran,” katanya seperti dilapor.

Dalam nahas tersebut, seramai 10 kru dilaporkan terkorban melibatkan dua helikopter TLDM yang bertembung ketika sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Dua helikopter yang terdiri model HOM-AW139 dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.

BACA JUGA Google sah akan melabur lebih RM9 bilion di Malaysia, ini yang Anwar jawab