Sah tiada unsur kepenatan pada juruterbang, semua kru udara ‘fit to fly’
Siasatan akhir membabitkan dua buah helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berlanggar dan mengorbankan 10 kru udara, akhirnya didedahkan.
Lembaga Siasatan TLDM dalam kenyataan berkata, laporan autopsi mengesahkan tiada isu ‘hypoglycemia‘ (keadaan kekurangan kepekatan glukosa di dalam darah) atau unsur-unsur ‘fatigue‘ (kepenatan) terhadap semua kru udara serta tiada penggunaan bahan terlarang.
“Selain itu, tiada unsur ‘mental illness‘ (penyakit mental) direkodkan atau dikenal pasti dengan kesemua kru udara terbabit disahkan secara perubatan sebagai ‘fit to fly‘ (cergas untuk melakukan penerbangan).
“Kematian kesemua 10 mangsa adalah berpunca daripada ‘multiple injuries due to aviation crash‘ (pelbagai kecederaan disebabkan kemalangan penerbangan).
“Pesawat AW139 disahkan tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan Laporan Analisis Kotak Hitam,” kata lembaga itu.
Selain itu pesawat Fennec juga ditentukan tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan analisis visual dan bunyi serta dokumentasi.
Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak pengeluar peralatan tulen (OEM).
“Sampel minyak, pelincir dan bahan api sudah diperiksa dan disahkan normal oleh pihak Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE),” katanya.
Pada masa sama, keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan.
“Laporan Analisis Kotak Hitam pesawat AW139 turut digunakan untuk membantu siasatan.
“Bagi pesawat Fennec pula, pembuktian profil penerbangan adalah melalui simulasi penerbangan menggunakan pesawat sebenar,” katanya.
BACA JUGA Laporan rasmi keluar, terjawab akhirnya punca dua helikopter TLDM berlanggar