Sokong perintah ICJ henti serangan di Rafah, majoriti Ahli DUN Pulau Pinang berdiri nyatakan sokongan

Majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini berdiri untuk menyatakan sokongan sekaligus meluluskan usul menyokong perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) agar Israel menghentikan serangan ke atas wilayah Rafah dan Palestin.

Usul tanpa pemberitahuan yang dikemukakan oleh Gooi Hsiao Leung (PH-Bukit Tengah) itu turut mengecam sekeras-kerasnya keganasan zionis Israel.

“Sehingga hari ini, seramai 36,000 warga Palestin telah dibunuh dan infrastruktur asas untuk hidup dimusnahkan.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga memaklumkan seramai 1.1 juta orang di Palestin akan mengalami kebuluran dan kelaparan sejak bermula serangan ke atas Rafah,” katanya.

Turut diluluskan pelantikan Ahli-Ahli Lembaga Rayuan di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 (Enakmen 16) bagi tempoh tiga tahun mulai 1 Jun ini hingga 31 Mei 2027.

Mereka ialah Datuk Baldev Singh Gurchan Singh sebagai Pengerusi, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor sebagai Timbalan Pengerusi diikuti Harinder Singh Malkit Singh, Carolyn Oh Li Lin, Datuk Nagarethinam Rengasamy Pillay dan Regina Amalorpava Mary Aboorvasamy selaku Ahli.

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pulau Pinang ke-15 itu, yang berlangsung sejak 24 Mei lalu turut menyaksikan 80 soalan lisan dan 789 soalan bertulis dikemukakan.

Mahkamah tertinggi PBB, ICJ, memutuskan pada Jumaat, 24 Mei lalu bahawa Israel mesti menghentikan tindakan ketenteraannya di Rafah, memastikan pintu sempadan Rafah dibuka untuk bantuan kemanusiaan, dan memberikan laporan mengenai kepatuhannya dalam tempoh sebulan.

BACA JUGA Sudahlah pendapatan tidak menentu, Cliff Umar rupanya miliki heroin

Â