Tutup kes selepas enam tahun perbicaraan, ini rekod bersejarah pendakwaan kes 1MDB
Selepas berlangsungnya perbicaraan selama enam tahun, akhirnya pihak pendakwaan kes penyelewengan dana syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak akhirnya menutup kes hari ini.
Prosiding kes yang mencipta sejarah buat julung kalinya mengheret bekas Perdana Menteri Malaysia ke mahkamah itu berlangsung selama 235 hari.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan pihak pendakwaan menutup kes selepas semua 50 saksi selesai memberikan keterangan hari ini.
“Oleh kerana tiada lagi saksi yang perlu dipanggil (memberi keterangan) dan tiada lagi saksi yang perlu disoal balas, jadi saya ingin menutup kes pendakwaan.
“Selepas 235 hari perbicaraan dalam tempoh enam tahun dan 50 saksi pendakwaan sudah dipanggil, pihak pendakwaan ingin menawarkan 49 orang saksi kepada pembelaan,” katanya, dipetik BH.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan kedua-dua belah pihak memfailkan hujahan bertulis pada 26 Julai dan hujahan balasan masing-masing pada 9 Ogos ini.
Beliau turut menetapkan tarikh hujahan lisan pada 19 hingga 22 Ogos depan.
Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan didakwa di Mahkamah Sesyen pada 20 September 2018 dan kes itu dibenarkan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2018, manakala perbicaraan bermula pada 28 Ogos 2019.
Antara saksi penting yang dipanggil memberikan keterangan termasuklah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Turut dipanggi bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan.
Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Mantan Menteri Kkewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Kes 1MDB yang menggemparkan negara selain disebut dalam Mahkamah Amerika Syarikat (AS) turut mendedahkan hubungan Najib dan ahli perniagaan Malaysia, Jho Low, yang masih dalam buruan.
Saksi pernah mendedahkan hubungan itu bukan sekadar atas urusan rasmi mengenai 1MDB sahaja.
Bahkan, Jho Low turut menyertai percutian bersama keluarga Najib termasuklah percutian di atas kapar layar RM Elegance dan Topaz di perairan selatan Perancis pada 2009 dan 2013 serta percutian di atas kapal layar Golden Odyssey di perairan Greece pada 2010.
Kesemua percutian itu diuruskan Jho Low dan sekutunya Eric Tan Kim Loong yang turut disertai antaranya kerabat diraja Arab Saudi dan pengarah PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid.
BACA JUGA Sudahlah pendapatan tidak menentu, Cliff Umar rupanya miliki heroin
Â