Bendera Malaysia berkibar di Switzerland, ini reaksi Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kini berada di Switzerland atas urusan kerja sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-77 yang berlangsung di Geneva sangat teruja dengan berkibarnya Jalur Gemilang di sana.

Meskipun sibuk menghadiri mesyuarat dan ekspo kesihatan, namun Naib Presiden AMANAH itu dilihat tetap komited memuat naik perkembangan terbaharu di sana menerusi Facebooknya.

Terbaharu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden Kerajaan Negeri Basel, TYT Dr Conradin Cramer yang menerima kunjungan hormat daripada beliau petang semalam.

Bukan itu sahaja, malah kibaran Jalur Gemilang di bangunan Dewan Bandaraya turut menarik perhatian Dr Dzulkefly.

”Kibaran Jalur Gemilang di bangunan Dewan Bandaraya adalah suatu penghormatan besar buat saya dan Malaysia.

”Sebagai ketua kerajaan negeri, beliau mengalu-alukan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Kesihatan, kerana Basel adalah pangkalan kepada beberapa gergasi farmeseutikal antarabangsa seperti Roche dan Novartis yang turut mempunyai operasi di Malaysia.

”Sebagai sebuah konfederasi, Basel dan negeri-negeri lain mempunyai autonomi termasuk dalam bidang kesihatan.

”Daripada segi ini, saya berhasrat untuk meneruskan perkongsian, terutamanya daripada segi model pembiayaan kesihatan yang dipraktikkan di Switzerland,” tulis beliau dalam catatan di laman sosialnya itu.

Dalam catatan sama, Dr Dzulkefly turut mengalu-alukan kedatangan syarikat-syarikat Basel ke Malaysia khususnya dalam bidang penyelidikan klinikal melalui Clinical Research Malaysia atau lain-lain bidang yang melibatkan teknologi canggih.

”Pelaburan baharu atau pengembangan pelaburan sedia ada terutamanya dalam teknologi bangkit, adalah penting untuk meningkatkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, menjana inovasi, serta memperkaya bidang kesihatan.

”Syarikat seperti Roche, Novartis, BeiGene, Lonza, Bayer, BASF, Syngenta, Straumann, Novo Nordisk dan Moderna bukan sekadar menghasilkan ubat generasi baharu yang penting untuk penyakit kritikal seperti kanser, diabetes dan penyakit genetik.

”Tetapi aplikasi teknologi mereka terutamanya dalam sains data juga penting dalam usaha transformasi kesihatan. Contohnya perubatan jitu dan transisi daripada pengurusan kesihatan individu kepada pengurusan kesihatan populasi.

”Malaysia kekal terbuka kepada komuniti pelabur, perniagaan, penyelidik dan akademik yang ingin meneroka peluang yang memberi manfaat kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

BACA JUGA Ini rupanya cara guna aplikasi DELIMa untuk tebus baucar buku RM100

Â