Pas bersedia letak calon di 7 kerusi Bersatu jika PRK diadakan? Ini reaksi warga maya

Kenyataan terbuka kesediaan Pas meletakkan calonnya di enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik Bersatu jika berlaku pilihan raya kecil (PRK) diadakan di situ mendapat reaksi daripada warga maya.

Bagi mereka, ini bibit-bibit perceraian antara dua anggota utama gabungan parti Perikatan Nasional (PN) itu.

Mereka mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang memaklumkan Pas sedia bertanding di tujuh kerusi Bersatu itu jika pilihan raya kecil dipanggil untuk kesemua kerusi itu.

Ulasan Hashim, pemimpin paling kanan dalam Pas itu dibuat selepas calon Bersatu kalah dalam pilihan raya kecil Kuala Kubu Baru.

Pas pula ketika PRK itu berjalan tidak dilihat ghairah untuk berkempen. Tidak ada seorang pun pemimpin kanan Pas berada pusat penamaan calon PRK berkenaan.

Kajian Ilham Centre pula menunjukkan tiada jentera Pas digerakkan sepanjang kempen PRK itu.

Ada warga maya menyifatkan, kenyataan pemimpin utama Pas itu sebagai sesuatu yang lawak, namun ada yang menyifatkan ianya bibit-bibit perpecahan.

“Lobai kalau tak buat kelakar tak sah… rakyat tak nak Pas la… tak paham ke??

“Jangan berebut kerusi, beli di kedai perabot banyak lagi, nak pesyen apa, semua ada.

“Tak lama bercerai la tu.. Pas mana pernah kekal kahwin dengan parti mana-mana pun,” demikian komentar warga maya.

Pada 24 Mei lalu, Mursyidul Am parti itu, Datuk Hashim Jasin bagaimanapun berkata, sebarang keputusan rasmi bergantung kepada parti.

“Saya serah pada (keputusan rasmi) Pas, kalau diberi peluang bertanding kita sedia bertanding.

“Saya yakin kalau Pas diberi mandat bertanding, kita sudah bersedia.

“Saya juga yakin dalam suasana muhibah dalam komponen parti-parti PN, kita dapat selesaikan isu calon itu dengan sebaik-baiknya,” katanya seperti dilapor portal rasmi parti itu.

Ada warga maya sudah menjangkakan keputusan jika Pas bertanding dalam pilihan raya.

“Memang kalahlah,” kata Rasid kerana sebelum ini kerusi itu dimenangi kerana calonnya Bersatu.

“Sabarlah dulu.. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun belum mengisytiharkan kekosongan kerusi-kerusi itu.

”Terbaik.. kita rampas semua kerusi Bersatu yang khianat,” tulis Lagenda Pdg Kubur yang menyokong langkah Pas itu.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan itu, Bersatu memberi tempoh 14 hari bermula Jumaat minggu lalu kepada semua wakil rakyat mereka untuk menjawab surat arahan bertulis yang diedarkan.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula dilapor berkata, kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan keahlian dalam Bersatu terhenti dengan serta merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu yang diluluskan pindaannya baru-baru ini.

BACA JUGA Terjawab kenapa kerajaan rugi RM4.5 juta sehari, rupanya stesen minyak jadi dalang seleweng diesel